Majlis Apresiasi Rakan Strategik LZNK Bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah & Pelancaran Pelan Strategik LZNK 2026-2030
KUALA LUMPUR, 25 November 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman berkenan menerima replika cek bayaran Zakat Perniagaan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) bagi tahun 2024 berjumlah RM1,216,000.00.
Penyerahan tersebut berlangsung sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Pelancaran Pelan Strategik LZNK 2026–2030 di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur semalam, 24 November 2025.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1G9nk3KSX2/
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah. Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria Othman serta dif-dif kehormat lain.
Replika cek tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman sebagai tanda tanggungjawab korporat dan komitmen berterusan SADA dalam menyokong usaha pengukuhan institusi zakat serta keberhasilan agihan manfaat kepada golongan asnaf di Negeri Kedah.
SADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak LZNK yang sentiasa komited dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat secara sistematik, telus dan efisien meliputi aspek keperluan asas, kebajikan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan kesihatan.
Harapan agar sumbangan zakat perniagaan SADA terus meningkat pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai golongan asnaf di Negeri Kedah disantuni.
