Majlis Graduasi SADA 2025

597238121_831991873137616_1459823388847236970_n.jpg

ALOR SETAR, 11 Disember 2025 – Majlis Graduasi SADA 2025, yang diadakan buat julung kalinya, telah berlangsung dengan penuh meriah di Glass Hall, Elissa Garden. Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor. Penganjuran sulung ini mencerminkan komitmen SADA dalam memperkasa pembangunan modal insan serta mengiktiraf pencapaian warga kerja yang berjaya menamatkan pengajian.

Seramai 315 warga kerja SADA telah berjaya menamatkan program pengajian yang merangkumi program Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 dan Program Kepimpinan Strategik. Kesemua program dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara SADA, Pusat Pendidikan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKP). Dalam ucaptamanya, YAB Menteri Besar menegaskan bahawa kejayaan para graduan adalah cerminan komitmen SADA dalam memperkukuh keupayaan modal insan.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1FpfhnLADZ/

Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian individu, tetapi menandakan peningkatan kapasiti organisasi secara keseluruhan. Ilmu dan kemahiran yang diperoleh para graduan hari ini akan menjadi pemangkin kepada mutu perkhidmatan SADA yang lebih cekap dan berkesan untuk rakyat Kedah,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa budaya pembelajaran sepanjang hayat perlu diperkasa agar SADA sentiasa bersedia mendepani perubahan dan cabaran industri air yang semakin kompleks.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YBhg. Dato' Mohd Fauzi Mustaffa; Ahli Parlimen Merbok, YB Mohd Nazri Abu Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UUM Holdings, Tuan Azman Hisham Che Doi; Pengarah PACE UUM, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar; Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah; serta Ketua Pegawai Operasi SADA, Tuan Haji Zulazni Mohd Noor.

Turut hadir ialah barisan pensyarah UUM, pengurusan SADA, para pegawai SADA dan UUM, ahli keluarga graduan serta tetamu jemputan.

SADA merakamkan sekalung penghargaan kepada pihak UUM atas kerjasama erat dalam mejayakan kolaborasi industri ini.

Semoga usaha murni daripada kedua-dua belah pihak ini akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Kedah.