Kayuhan Sihat & Amal - Siri 5 (Daerah Kuala Muda)

600517447_838446039158866_2138755847497398153_n.jpg

PANTAI MERDEKA, 20 Disember 2025 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) melalui Kelab Sukan, Kebajikan & Rekreasi SADA telah menganjurkan Program Kayuhan Sihat & Amal Siri 5 yang berlangsung di Pantai Merdeka dan kawasan sekitar.

Program ini melibatkan penyertaan hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja SADA daripada pelbagai jabatan dan wilayah seluruh Negeri Kedah.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/16T9AEDAqn/

Kayuhan bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar 11.00 pagi, dengan para peserta telah menempuh jarak kayuhan sejauh 25 kilometer.

Seperti kelaziman, program kali ini turut diselitkan dengan aktiviti kebajikan, di mana dua buah keluarga yang kurang berkemampuan telah disantuni oleh para peserta kayuhan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Radzuan Osman.

Selain aktiviti kayuhan, program ini turut dimeriahkan dengan pengisian aktiviti anjuran Biro Wanita SADA, antaranya pertandingan Pulut Kuning Berhias, Teh Tarik Challenge dan Cendol Klasik yang bukan sahaja menceriakan suasana malah menggalakkan penyertaan santai serta interaksi dalam kalangan warga kerja dan keluarga yang hadir.

Dalam program sama turut berlangsung Majlis Apresiasi SBAM 2025 sebagai tanda penghargaan kepada para pegawai serta atlet yang telah mengharumkan nama syarikat pada temasya SBAM Selangor beberapa bulan yang lalu.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja bermatlamat untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, malah dapat menyemai nilai keprihatinan sosial serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam organisasi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat.