Sesi Dialog SADA Bersama Penduduk Sanglang
SANGLANG, 9 Mac 2026 - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menyertai sesi dialog bersama penduduk Sanglang yang dianjurkan oleh ADUN Kota Siputeh, YB Tuan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, semalam.
Sesi dialog ini diadakan bagi membincangkan isu gangguan bekalan air di sekitar kawasan Sanglang, Padang Gelanggang, Lana Bulu, Pida 14/15 dan kawasan sekitar serta memberikan penerangan berhubung punca gangguan dan langkah-langkah mitigasi yang akan diambil.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/17LS55743w/
Gangguan bekalan air yang berlaku adalah disebabkan kedudukan kawasan berkenaan yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air selain peningkatan penggunaan air yang ketara ketika musim kemarau.
Dalam sesi tersebut, SADA turut memaklumkan beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang yang dirancang juga yang sedang dilaksanakan, termasuk penambahbaikan sistem agihan bagi membantu menstabilkan bekalan air ke kawasan terlibat.
Penduduk yang hadir menyambut baik penerangan serta cadangan penyelesaian yang dikemukakan dan berharap usaha pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
SADA komited untuk terus memantau keadaan bekalan air di kawasan berkenaan serta melaksanakan tindakan sewajarnya bagi memastikan pengguna menerima bekalan air yang lebih stabil, konsisten dan berterusan.
