Mesyuarat Tapak Projek Pembangunan Tenaga Solar SADA
KUALA KETIL, 10 Mac 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA), Tuan Radzuan Osman telah mempengerusikan Mesyuarat Tapak Bil. 3 bagi Projek Pembangunan Tenaga Solar yang diadakan di Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Ketil, semalam.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi meneliti perkembangan semasa pelaksanaan projek pemasangan sistem tenaga solar di beberapa fasiliti rawatan air milik SADA sebagai sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh penggunaan tenaga boleh baharu serta meningkatkan kecekapan pengurusan kos operasi.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1KLk5zhHqH/
Sebagai permulaan, tiga buah loji rawatan air daripada keseluruhan telah dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan sistem tenaga solar ini, iaitu LRA Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama serta LRA Sungai Ular.
Projek ini dilaksanakan melalui konsep “Zero CAPEX”, di mana pihak ketiga akan menanggung sepenuhnya kos pelaburan dan pemasangan sistem solar, manakala SADA hanya membuat bayaran berdasarkan tenaga elektrik yang dijana.
Apabila sistem ini siap dan beroperasi sepenuhnya kelak, SADA dijangka dapat mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik sekali gus menyokong usaha penggunaan tenaga hijau yang lebih mampan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SADA dalam memperkasakan amalan kecekapan tenaga serta memastikan pengurusan operasi yang lebih lestari demi penyampaian perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada pengguna di Negeri Kedah.
