Majlis Penyampaian Sumbangan & Iftar Sempena Program SADAQAH Ayam Segar Kepada Asnaf
PENDANG, 17 Mac 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) pada hari ini telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan & Iftar sempena Program SADAQAH Ayam Segar Kepada Asnaf yang berlangsung di Masjid Sultanah Haminah.
Program SADAQAH Ayam Segar Kepada Asnaf yang dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Ayam Bismi Sdn. Bhd. ini secara rasminya telah melabuhkan tirainya hari ini dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Tuan Radzuan Osman.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1FhD7HjUpq/
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Kutipan LZNK, Encik Mohamad Zaidi Azizan; Pengarah Eksekutif Ayam Bismi Sdn. Bhd., Encik Azwan Arif Azmi; serta Ketua Pegawai Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi.
Sepanjang pelaksanaan program ini, sebanyak 14,500 ekor ayam segar telah berjaya diagihkan kepada 4,833 keluarga asnaf dalam kategori fakir dan miskin di seluruh Negeri Kedah. Program julung kali anjuran SADA ini dilaksanakan melalui peruntukan Wakalah Zakat Perniagaan syarikat berjumlah RM200,000, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
Dalam majlis yang sama, SADA turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada dua institusi kebajikan iaitu Rumah Anak Yatim Amal Solehah dan Pusat Pendidikan Darul Furqan.
Selain itu, lima buah masjid di sekitar kawasan turut menerima sumbangan sebagai tanda sokongan kepada institusi komuniti setempat.
SADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak LZNK dan Ayam Bismi Sdn. Bhd. atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang menjayakan program ini.
Diharapkan sumbangan yang disalurkan ini dapat meringankan beban para penerima, di samping membawa kegembiraan dalam menyambut baki bulan Ramadan serta persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
