Lawatan Kerja Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Ke Negeri Kedah & Perlis
KUALA MUDA, 30 Julai 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menyertai Lawatan Kerja Jawatankuasa Kecemasan dan Kesediaan Risiko (JKKR) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang diadakan di Kedah dan Perlis bagi meninjau tahap kesiapsiagaan agensi-agensi berkaitan dalam menghadapi cabaran bekalan air susulan fenomena cuaca ekstrem.
Delegasi SPAN dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Faizal Abdul Rahman, Anggota Suruhanjaya, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Haji Ahmad Anuar Othman, YBhg. Dato’ Haji Zamri Yusof dan Ir. Haji Sulaiman Kamisan, manakala SADA pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi serta barisan pengurusan.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1JYPd4v3bP/
Lawatan tersebut turut melibatkan sesi taklimat bersama agensi berkaitan termasuk SADA, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berhubung pelan kontingensi serta langkah-langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran bekalan air ketika fenomena cuaca ekstrem khususnya El Nino.
Selain sesi taklimat, delegasi turut mengadakan lawatan ke Empangan Muda dan Empangan Ahning bagi meninjau keadaan semasa empangan serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan sumber air dan langkah mitigasi yang dilaksanakan di Negeri Kedah.
Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara agensi serta memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi sebarang risiko yang boleh memberi kesan kepada sumber dan bekalan air kepada pengguna.
SADA komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan pengurusan sumber air yang mampan serta menjamin kesinambungan bekalan air kepada rakyat Negeri Kedah.
