Kunjungan Hormat SADA Ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah
ALOR SETAR, 12 Ogos 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah (PTG Kedah) bagi memperkukuh hubungan kerjasama serta membincangkan perkara berkaitan kepentingan pembangunan infrastruktur bekalan air di Negeri Kedah.
Delegasi SADA diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato' Radzuan Osman, bersama Ketua Pegawai Operasi, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi, Pengurus Jabatan Undang-Undang, Puan Hamnah Abdul Malim dan Pengurus Jabatan Pengurusan Aset, Encik Mohamad Farid Mhd Isa serta para pegawai.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/19LAoqopno/
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, YBhg. Dato' Haji Muhamad Arof Darus.
Sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada isu berkaitan pengambilan tanah serta perkembangan terkini dua projek utama bekalan air terawat di Negeri Kedah iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Karangan Fasa 1 di Daerah Kulim dan LRA Sidam Kiri Fasa 1 di Daerah Kuala Muda.
Pertemuan ini turut menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan dan bertukar maklumat berkaitan peranan serta hala tuju SADA sebagai pembekal air terawat dalam menyokong keperluan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah.
SADA merakamkan penghargaan kepada pihak PTG Kedah atas kesudian menerima kunjungan serta berharap jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat terus diperkukuh bagi menyokong kelancaran pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan air di Negeri Kedah.
