Lawatan Kerja Teknikal Delegasi INTAP Negeri Perak Ke Pulau Langkawi
LANGKAWI, 8 Oktober 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menerima kunjungan delegasi di bawah Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam (INTAP) Negeri Perak yang diketuai oleh YB Dato’ Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin sempena Lawatan Kerja Teknikal ke Pulau Langkawi, semalam.
Delegasi telah disambut oleh Pengurus Kanan Jabatan Pengeluaran SADA, Ts. Mohd Fadzly Jaafar bersama barisan Pengurusan SADA Wilayah Langkawi yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato' Radzuan Osman.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1EcSrJg5be/
Dalam sesi tersebut, delegasi telah diberikan taklimat oleh SADA berhubung situasi semasa dan pengurusan bekalan air di Pulau Langkawi, termasuk beberapa perkara berkaitan cabaran serta usaha yang dilaksanakan dalam memastikan kesinambungan bekalan air kepada pengguna.
Delegasi INTAP turut mengikuti taklimat khas oleh pihak Nautica Infinity Sdn. Bhd. berhubung projek pembaikan paip dasar laut dari tanah besar ke Pulau Langkawi.
SADA menyambut baik kunjungan tersebut yang menjadi platform dalam memperkukuh hubungan antara SADA dan INTAP Negeri Perak, di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
SADA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada delegasi INTAP Negeri Perak atas kunjungan yang diadakan serta berharap hubungan baik yang terjalin akan terus diperkukuh pada masa hadapan.
