Persiapan Akhir Sebelum Kerja-Kerja Berjadual Di LRA Bukit Pinang

907823726_1123697953967005_2663366814815762332_n.jpg

KOTA SETAR, 15 November 2026 – Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) hari ini telah melaksanakan pemeriksaan dan tinjauan akhir di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang sebagai persediaan sebelum kerja-kerja penyelenggaraan berjadual bermula esok.

Pemeriksaan diketuai oleh Pengurus Kanan Jabatan Mekanikal & Elektrikal SADA, Ir. Mohammad Shattirq Mazelan, bersama pasukan teknikal bagi meneliti kesiapsiagaan peralatan serta memastikan skop kerja yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1LGenSSMsG/

Kerja-kerja yang dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi, 16 November 2026 hingga jam 10.00 pagi, 17 November 2026 melibatkan pengujian dan penentukuran peralatan elektrikal di loji, selain pembaikan kebocoran pada paip pelepasan.

Sepanjang tempoh tersebut, operasi LRA Bukit Pinang perlu dihentikan sementara dan akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di beberapa kawasan dalam Daerah Kota Setar melibatkan anggaran 61,153 akaun pengguna.

Kerja penyelenggaraan ini perlu dilaksanakan bagi memastikan peralatan dan sistem di loji sentiasa berada dalam keadaan baik dan mengelakkan berlaku kerosakan di luar jangka.

SADA memohon para pengguna di kawasan yang terlibat agar membuat persediaan awal dengan menyediakan simpanan air yang mencukupi sebelum gangguan bermula. Pengguna juga dinasihatkan menggunakan bekalan air secara berhemah sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan simpanan yang ada dapat digunakan untuk keperluan utama.

SADA menghargai kerjasama dan kesabaran semua pengguna sepanjang kerja-kerja ini dilaksanakan.