Majlis Apresiasi Rakan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah Bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah

922144216_1132612933075507_1024308592711779353_n.jpg

PETALING JAYA, 24 November 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman berkenan menerima cek cura bayaran Zakat Perniagaan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) bagi tahun 2025 berjumlah RM1,550,000.00.

Penyerahan tersebut berlangsung sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah di One World Hotel Petaling Jaya, semalam, 23 November 2026.

Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/1CKpFreitY/

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, YBhg. Dato’ Syeikh Zakaria Othman serta dif-dif kehormat yang lain.

Cek cura zakat perniagaan tersebut dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SADA, YBhg. Dato’ Radzuan Osman sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat SADA dalam menunaikan kewajipan zakat serta menyokong usaha LZNK memperluas manfaat agihan kepada golongan asnaf di Negeri Kedah.

SADA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LZNK atas usaha berterusan dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat secara sistematik dan telus, merangkumi bantuan keperluan asas, kebajikan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi serta kesihatan.

SADA berharap prestasi dan keupayaan syarikat akan terus diperkukuh agar jumlah zakat perniagaan yang dapat ditunaikan pada masa hadapan turut meningkat, sekali gus membolehkan lebih ramai golongan asnaf di Negeri Kedah menerima manfaat.