Lawatan Tapak & Makmal Pengurusan Nilai Projek Pembinaan LRA Sidam Kiri Fasa 1

ALOR SETAR, 11 Ogos 2025 - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) telah menganjurkan sesi lawatan tapak dan Makmal Pengurusan Nilai (VM) bagi projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sidam Kiri Fasa 1 yang telah diadakan selama empat hari, iaitu pada 30 Julai 2025 bagi lawatan tapak dan 4 hingga 6 Ogos 2025 bagi Makmal Pengurusan Nilai yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Makmal VM ini melibatkan penyertaan aktif daripada beberapa pihak berkepentingan termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), perunding, serta wakil agensi teknikal yang terlibat dalam melaksanakan projek tersebut.
Akses berita penuh di https://www.facebook.com/share/p/177XbYhArz/
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi SADA, Tuan Haji Zulazni Mohd Noor, Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan / R&D, Ts. Hizaruddin Abd Razak dan wakil-wakil daripada wilayah dan jabatan teknikal SADA.
Objektif utama makmal ini adalah untuk menghasilkan keputusan yang lebih efektif dengan mengenal pasti peluang penambahbaikan nilai melalui pendekatan sistematik, khususnya dalam aspek kos, reka bentuk, dan kecekapan pelaksanaan projek.
Projek ini juga merupakan salah satu komitmen SADA dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur bekalan air melalui pelaburan hasil daripada pelarasan kadar tarif yang telah dilaksanakan, demi memastikan kelangsungan perkhidmatan air yang berkualiti kepada rakyat.
Antara kawasan utama di Daerah Kuala Muda yang bakal menerima manfaat daripada pembinaan LRA baharu tersebut ialah Sidam Logistic Aerospace & Manufacturing (SLAM), Kedah Aerotropolis dan Bandar Sungai Petani.
SADA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan komitmen serta kerjasama sepanjang pelaksanaan makmal ini. Dengan usaha bersama ini, diharapkan agar projek LRA Sidam Kiri Fasa 1 dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan sekali gus menyumbang kepada pembangunan infrastruktur air yang mampan di Negeri Kedah.






